
Festival Bagandang
- Details
- Category: Uncategorised
- Published on Saturday, 01 January 2011 00:00
- Hits: 159
Festival Bagandang merupakan festival musik kebudayaan masyarakat Beaufort.

Atas cetusan idea dan inisiatif ADUN N. 25 Klias (YB Dato’ Hajah Aizizah Datuk Seri Panglima Hj. Mohd. Dun), FBB sudah diadakan selama 3 tahun berturut-turut (2009-2011). Bagandang ialah istilah yang disebut oleh masyarakat etnik Bisaya di Beaufort bagi sesi jamming instrumen muzik yang menggunakan Kulintangan dan Gong, yang sering dimainkan dalam majlis-majlis keramaian seperti Majlis Perkahwinan. Festival Bagandang diadakan berlandaskan atas kesedaran bahawa mainan peralatan muzik tradisional ini perlu terus dipertahankan, untuk rujukan generasi akan datang.
Tujuan diadakan FBB juga adalah untuk menjaga dan memelihara budaya dan alatan tradisional supaya sentiasa segar di kalangan generasi muda, membawa mesej perpaduan di kalangan rakyat tempatan mahupun luar dan salah satu cara untuk meningkatkan ekonomi setempat, dengan penglibatan penduduk daerah Beaufort dalam aktiviti perniagaan yang bernilai jutaan ringgit. Festival ini juga berjaya mempromosikan Daerah Beaufort yang mempunyai banyak tempat-tempat yang menarik, didiami oleh pelbagai etnik dan kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa, permainan dan muzik tradisional sebagai satu lokasi menarik bagi industri pelancongan.
Disenaraikan dalam kalender Pelancongan Sabah, FBB menjadi wadah untuk mengetengahkan bakat-bakat muda ke peringkat negeri, nasional dan antarabangsa dalam permainan alat muzik tradisional. FBB juga menjadi satu platform untuk mengangkat dan menjulang muzik tradisional ke tahap global.

